MANCHESTER: Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol manakala pemain termahal dunia, Paul Pogba menyinar dalam penampilan semulanya ketika Manchester United menewaskan Southampton 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Sabtu. Ia merupakan kemenangan kedua pasukan kendalian pengurus Jose Mourinho pada musim ini. Ibrahimovic membuka jaringan pada minit ke-36 apabila menanduk masuk bola hantaran lintang kapten Wayne Rooney. Penyerang Sweden berusia 34 tahun itu menambah gol kedua pada minit ke-52 menerusi sepakan penalti selepas Jordy Clasie menjatuhkan Luke Shaw yang membuat larian licik ke dalam kotak penalti. Ia adalah gol ketiga Ibrahimovic dalam dua perlawanan dan memastikan United mengutip mata maksimum dalam penampilan rasmi pertamanya di Old Trafford. "Kami memang berhak untuk menang kerana menguasai sepenuhnya permainan," kata Mourinho. Pada masa sama, Ibrahimovic mengakui United mempamerkan persembahan lebih baik dalam setiap perlawanan. "Kami semakin bagus hari demi hari. Ia permulaan baik. Kami perlu membiasakan diri untuk menang selalu," katanya. Tonggak Perancis, Pogba kembali semula ke kelab pertamanya daripada Juventus dengan nilai perpindahan 89 juta pound (RM467 juta). Dia mempamerkan corak permainan dinamik, menggelecek dengan penuh kekuatan dan bekerjasama dengan baik bersama Rooney dan Ibrahimovic. Keputusan penuh: Manchester United 2 - 0 Southampton