suria

Cilic Tundukkan Murray, Kerber Kecewa Lagi

Cilic memenangi gelaran pertama ATP Masters 1000, awal pagi Isnin.

CINCINNATI: Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Marin Cilic menundukkan Andy Murray dari Britain 6-4, 7-5 pada aksi final Terbuka Cincinnati untuk menyambar gelaran pertama ATP Masters 1000, awal pagi Isnin.

Perlawanan yang berlangsung selama 94 minit itu menandakan kejayaan pertama buat jaguh Croatia berusia 27 tahun itu untuk menjulang gelaran Masters pertama pada percubaan kali ke-71.

"Minggu ini akan sentiasa dikenang, ia benar-benar sangat istimewa.

"Saya sudah tidak sabar untuk beraksi di Terbuka AS dalam beberapa minggu lagi. Saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang ini," kata Cilic.

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik, Angelique Kerber tewas kepada pemain Republik Czech, Karolina Pliskova 6-3, 6-1 dalam acara final wanita.

Ia adalah kekalahan kedua jaguh Jerman itu di pentas final berturut-turut selepas turut tewas dalam penentuan pingat emas di pentas Olimpik Rio.

Kekalahan itu juga menyaksikan peluang Kerber untuk merampas kedudukan ranking nombor satu dunia dari bintang AS, Serena Williams tidak kesampaian.


Artikel Lain