PEMAIN kebangsaan Wales, Gareth Bale bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Real Madrid yang menyaksikan dia kekal di Stadium Bernabeu sehingga 2021. Dengan kontrak baharu itu, Bale akan memperoleh pendapatan sebanyak 375,000 pound seminggu (RM2 juta). Malah perjanjian itu turut menyaksikan pendapatan tahunannya meningkat kepada 8.6 juta pound (RM46 juta) sebagai penghargaan selepas membantu Real merangkul gelaran ke-10 dan ke-11 Piala Eropah. Nilai pendapatan tahunan yang diraih pemain berusia 27 tahun itu bakal menyamai nilai yang kini diterima kapten Los Blancos, Sergio Ramos. Bale menunjukkan komitmen masa depannya untuk terus kekal di kelab gergasi Sepanyol itu dan menjaringkan dua gol ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Real Sociedad pada aksi pembuka tirai La Liga. Terdahulu kontrak sedia ada Bale selama enam tahun sejak berhijrah dari Tottenham Hotspur akan berakhir pada 2019.