suria

BAM Bakal Lakukan Rombakan Pasukan

Ng Chin Chai.

SEPANG: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal menyusun semula pasukan dan pemain negara sebagai persediaan untuk kekal menjadi pencabar utama pingat Olimpik 2020 di Tokyo.

Menurut Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai badan induk badminton negara itu sebenarnya telah mengambil keputusan untuk membuat rombakan sebelum berlepas ke Olimpik Rio lagi.

"Memang dari awal lagi kita cadang buat rombakan selepas Olimpik. Jadi kita akan susun semula pasukan-pasukan kita untuk sasaran empat tahun akan datang supaya kita dapat mengatasi pingat-pingat kita yang dapat kali ini," katanya kepada pemberita selepas pulang dari Olimpik Rio, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini Rabu.

Skuad badminton negara mempamerkan aksi yang memberangsangkan di Rio apabila Datuk Lee Chong Wei meraih pingat perak ketiga peribadinya dalam acara perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melakarkan kejutan dengan meraih perak.

Sebutir lagi pingat perak negara di sumbangkan oleh pasangan Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Heong melalui acara terjun 10m platform seirama wanita manakala Mohd Azizulhasni Awang pula membawa pulang gangsa menerusi acara berbasikal keirin lelaki, yang sekali gus menjadikan Rio sebagai pencapaian terbaik negara di pentas Olimpik.

Mengulas mengenai status jurulatih perseorangan negara yang juga merupakan bekas pemain Indonesia, Hendrawan yang kini membimbing Chong Wei, Chin Chai berkata persatuan itu akan meneruskan khidmatnya sebagai jurulatih perseorangan negara walaupun jika Chong Wei mengambil keputusan untuk bersara sebelum Tokyo 2020.

"Kita akan terus guna Hendrawan kerana kontraknya masih berjalan. Bagaimanapun, kita akan bincang dengan Chong Wei mengenai persiapan untuk Tokyo, sama ada dia masih ingin untuk bermain atau tidak. Selepas itu baharu kita susun semula sama ada Hendrawan akan terus melatih dia (Chong Wei) atau orang lain.

"Chong Wei akan berehat dan kita akan bincang pada masa yang sesuai bersama-sama Hendrawan dan pengarah teknikal Morten Frost. Jika beliau sudi bermain hingga Tokyo, ia sangat baik, umur tidak menjadi faktor asalkan beliau sudi bermain, tidak cedera dan dapat mengekalkan kecergasan," jelasnya.

Chin Chai berkata BAM yang sedar bahawa sukar untuk mencari pengganti Chong Wei, merancang untuk melahirkan beberapa pemain yang mampu berada di kedudukan 10 teratas ranking dunia supaya Malaysia kekal menjadi pencabar pingat di pentas Olimpik. - BERNAMA

BAM, Ng Chin Chai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain