PETALING JAYA: Seramai 13 muka baharu terpilih dalam senarai 24 pemain yang dipanggil bagi menjalani persiapan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Indonesia di Stadium Menahan, Solo pada 6 September depan. Pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, antara muka baharu yang dipanggil termasuk penjaga gol Khairulazhan Khalid, S Veenod dan Adam Nor Azlin (Selangor), penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Amer Saidin dan Irfan Fazail (JDT II). Empat lagi muka baharu terdiri daripada Fakrul Aiman Sidid (PDRM), Ronny Harun (Sarawak), Matthew Davies (Pahang) dan Safawi Rasid (T-Team). "Banyak perubahan terpaksa dilakukan kerana masalah kecederaan dan pemain-pemain yang bersara. Jadi rata-rata pemain dipanggil kali ini terdiri daripada pemain muda yang mempunyai pengalaman antarabangsa di peringkat remaja sebelum ini dan dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu. "Sebagai contoh, Irfan Fazail sebelum ini mempunyai pengalaman luas beraksi bersama Harimau Muda di Sukan SEA dan Kelayakan Olimpik. Jadi pasti ini satu cabaran buat dirinya termasuk juga Amer Saidin dan Wan Zack Haikal yang dipanggil semula untuk mereka buktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis. Menurut Kim Swee, daripada senarai 24 pemain itu, hanya 11 pemain dikekalkan daripada skuad yang beraksi pada siri Jelajah Oceania Jun lalu. "Mereka adalah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Khair Jefri Jones, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Amri Yahyah, Zaquan Adha Abd Radzak dan Ahmad Hazwan Bakri," katanya. Beliau berkata 13 pemain lain yang diketepikan pada kali ini membabitkan enam pemain yang mengalami kecederaan atau masih dalam proses pemulihan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan. Katanya, penjaga gol Farhan Abu Bakar antara empat pemain yang digugurkan selain S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran. Jelas beliau, tiga pemain yang bersara dari pentas antarabangsa iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim turut tidak disenaraikan. "Penjaga gol, Farhan Abu Bakar saya terpaksa ketepikannya kerana dia tidak diturunkan oleh pasukan Kedah dan saya memanggil Hafizul Hakim yang menunjukkan prestasi baik bersama pasukan Perak. "Hafizul yang baru berusia 23 tahun antara pelapis penjaga gol negara dan saya akan beri ruang untuk mencubanya, mungkin bukan ketika bertemu Indonesia ini kerana saya mahu menilainya dalam latihan terlebih dahulu sebelum memutuskannya untuk pemilihan akan datang," katanya. Kim Swee mengakui persiapan untuk kem latihan pusat kali ini amat singkat selepas mengambil kira jadual padat setiap pemain. "Tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan. Jadi apa yang perlu saya fikir sekarang ialah membentuk kombinasi tertentu selepas kesebelasan ketika bertemu Timor-Leste dan siri Jelajah Oceania tidak dapat bersama kali ini. "Harap 24 pemain yang dipanggil ini dapat bermain secara berpasukan dengan lebih baik biarpun dalam tempoh yang singkat. "Ini pemain terbaik yang saya lihat ketika ini dan mereka harus membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebelum saya memutuskan untuk persiapan yang akan datang," katanya. Kim Swee berkata kesemua 24 pemain yang disenaraikan itu akan melapor diri untuk latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini. Katanya, hanya tiga pemain sahaja iaitu Adam Nor, Davies dan Safawi akan melapor diri pada Rabu depan selepas selesai beraksi bersama skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara untuk aksi persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain B-22 di Stadium Shah Alam, Selasa depan.