suria

Bernhardt Umum 23 Pemain Skuad B-19 Negara Untuk Aksi Di Hanoi

Frank Bernhardt.

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara, Frank Bernhardt mengekalkan kesemua 23 pemain yang dipanggil menjalani kem latihan pusat pada 1 hingga 4 Ogos lalu untuk menggalas cabaran negara pada Kejuaraan AFF B-19 2016 yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam bulan depan.

Kesemua 23 pemain itu adalah trio Selangor Muhammad Syahmi Safari, Muhamad Rizalul Azuwan Supandri dan Damien Lim Chien Khai, lima pemain Pahang; Dinesh Rajasingham, Kogileswaran Raj Mohana Raj, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Shah Amirul Mohd Zamri dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim; Dominic Tan Jun Jin (JDT), Muhamad Hafiy Haikal Ismail dan Mohamad Hariz Kamarudin dari JDT II; Muhammad Hazrul Hafiz Zulkifly, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (Pulau Pinang).

Dua pemain T-Team, Muhammad Safawi Rasid dan Mohd Zarulizwan Mazlan; Suwarnaraj Chinniah dan Muhammad Amir Safuan Mohamad Zubir (Perak), Mohamad Ramadhan Jalil (Kuala Lumpur), Muhammad Haziq Nadzli (PDRM), Muhammad Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Muhammad Al Mustaqim Mohd Rizuan (Melaka) dan Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

Bernhardt  turut menyenaraikan sembilan pemain dalam senarai bersedia sekiranya mana-mana dari kalangan 23 pemain tersebut mengalami kecederaan.

Mereka adalah Tan Yung Hong (Kuala Lumpur), S Thipanraj (Kuala Lumpur), Badrul Amin Rusalan (Selangor), Mohammad Fitri Amani Ismail (Terengganu), Nik Mohd Amin Ahmad (T-Team), Mohd Aiman Shakir Mohd Hashim (Kelantan), Muhammad Izzat Mohd Ramlee (Perak), Muhamad Shyamierul Razmee Jasmi (Melaka) dan Al Barilan Shahul Hameed (MISC-MIFA).

Kesemua 23 pemain yang disenaraikan itu akan melapor diri untuk latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 6 September depan.

Menurut Bernhardt, daripada senarai 23 pemain itu, kira-kira lapan daripadanya merupakan pemain skuad Bawah 22 tahun (B-22) yang akan memainkan peranan penting pada perlawanan tersebut.

"Jadi, bagi saya walaupun kem latihan pusat hanya selama tiga hari, ia tidak menjadi masalah kerana pasukan turut akan mempunyai masa untuk membuat persiapan di Hanoi memandangkan perlawanan sulung hanya akan berlangsung pada 13 September ini.

"Setelah meneliti pasukan yang bakal bertanding, kami meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan separuh akhir," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Skuad B-19 tahun itu akan berlepas ke Hanoi pada 9 September ini.

Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara Kejuaraan AFF B-19 2015, Vietnam, Timor-Leste, Singapura dan Filipina.

Kejohanan yang berlangsung pada 11 sehingga 24 September itu bakal menyaksikan skuad negara memulakan kempen menentang Filipina (13 September) diikuti aksi bertemu Singapura (15 September), Timor-Leste (17 September) dan Vietnam (19 September).

Pada edisi Kejuaraan AFF B-19 yang berlangsung di Laos tahun lalu, skuad kebangsaan kendalian Hassan Sazali meraih tempat keempat setelah tewas penentuan penalti 2-3 kepada pasukan tuan rumah selepas terikat 1-1 dalam masa perlawanan sebenar.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain