suria

FAM Sedia Bayar Gaji Pemain B-22 Melalui Persatuan Negeri

Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia membayar gaji pemain Bawah 22 tahun (B-22) negara asalkan persatuan negeri membenarkan pemain mereka menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih, Frank Bernhardt.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM akan membayar gaji pemain berkenaan melalui persatuan negeri masing-masing sepanjang mereka menjalani latihan persediaan menghadapi Sukan Sea 2017.

Hamidin berkata FAM serta pengurus pasukan B-22, Datuk Rozabil Abdul Rahman akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama wakil pasukan dalam saingan Piala Presiden, Liga Super dan Liga Perdana pada 30 Ogos ini.

"FAM akan bayar gaji pemain yang dipanggil. Terdapat tiga pilihan iaitu latihan berpusat, latihan separa berpusat dan mengikuti latihan pusat serta separa pusat berdasarkan tempoh tertentu.

"Kita mahu mencari jalan penyelesaian terbaik sama ada memanggil pasukan sepenuh atau separa masa bagi tempoh empat hingga lima bulan sebelum Sukan Sea, atau sepenuh masa (bermula November hingga Ogos tahun depan)," katanya selepas merasmikan taklimat Liga Bola Sepak Rakyat di sini, Khamis.

Hamidin berkata 30 pemain B-22 negara ketika ini mempunyai kontrak dengan persatuan bola sepak negeri masing-masing sehingga 2017 dan 2018.

Bernhardt, 46, yang berasal dari Jerman dilantik sebagai pengendali skuad B-22 negara pada Disember tahun lepas, dengan misi merangkul pingat emas pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia