KUALA LUMPUR: Persatuan sukan kebangsaan perlu segera mengenal pasti atlet mereka yang berpotensi memberikan pingat untuk memulakan persiapan awal bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020. Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar turut mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan untuk bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara bagi memastikan atlet yang berpotensi itu dapat membuktikan kemampuan mereka di Tokyo. "Persatuan sukan seharus sudah tahu sekarang siapa dalam kalangan atlet mereka untuk ke Tokyo kerana tempoh empat tahun bukannya lama. Oleh itu, mereka harus mengenal pasti dari sekarang atlet yang perlu menjalani latihan khusus atau sebagainya. "Di Rio, kita mendapat keseluruhan lima pingat dan tidak terlalu bergantung kepada hanya satu sukan untuk meyumbang pingat. Oleh itu, kita harapkan lebih banyak sukan akan menyumbang pingat kepada kontinjen negara di Sukan Olimpik 2020," katanya. Tunku Imran berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco MOM kali ke-179 di Wisma OCM, di sini Sabtu. Di Sukan Olimpik Rio de Janeiro yang baru berakhir, Malaysia meraih empat pingat perak dan satu gangsa dengan badminton menyumbang tiga perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). Pasangan terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong turut menyumbang perak dalam acara 10m platform seirama manakala pelumba basikal yang berpangkalan di Melbourne, Australia Azizulhasni Awang menyumbang gangsa dalam acara berbasikal keirin. - Bernama