suria

Atlet Paralimpik Mampu Cipta Kejayaan Luar Biasa Di Rio - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih lima pingat oleh atlet negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini, perlu dijadikan inspirasi bagi atlet paralimpik pada Sukan Paralimpik Rio dari 7 hingga 18 September ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkat,a 21 atlet paralimpik yang akan menggalas cabaran di Rio nanti perlu mempunyai mentaliti dan keazaman tinggi untuk memenangi pingat buat negara.

"Anda (atlet) perlu percaya, anda luar biasa dan akan meraih kejayaan luar biasa di Rio nanti. Saya mahu semua buat yang terbaik, kepada atlet yang menyasarkan podium, pastikan anda di atas podium.

"Sekiranya tidak dapat podium pastikan anda dapat mencipta rekod kebangsaan, melakukan catatan peribadi terbaik. Saya tidak mahu 'pelancong sukan' di Rio," katanya pada majlis perjumpaan bersama atlet paralimpik negara di sebuah hotel di sini, Ahad.

Khairy turut mengumumkan atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat di Brazil, akan menerima elaun bulanan seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Pemenang pingat turut menerima insentif yang sama seperti atlet Olimpik iaitu RM1 juta (pingat emas), RM300,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).

Bercakap kepada pemberita kemudian, Khairy yakin atlet paralimpik mampu mencipta kejayaan lebih baik berbanding Sukan Paralimpik London 2012, dengan meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

"Saya difahamkan kontinjen kali ini dibarisi beberapa atlet yang menduduki ranking lima terbaik dunia. Jadi tidak mustahil untuk mereka mencapai misi pingat emas pertama negara di pentas Paralimpik di Rio nanti," katanya.

Antara atlet yang dilihat mempunyai peluang meraih pingat di Rio ialah atlet olahraga - Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Kontinjen paralimpik negara yang akan diiringi 19 jurulatih termasuk pegawai sukan, akan berlepas ke Brazil, Isnin.

Atlet paralimpik negara akan mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain