suria

Sukar Untuk Gembirakan Semua Pemain - Guardiola

PEP Guardiola mengakui dia tidak mampu untuk memberi kegembiraan kepada semua pemainnya.

Guardiola yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah untuk Manchester City setakat ini mendedahkan pada Jumaat lalu dia perlu memilih sebelas daripada 30 pemain yang dilatih untuk beraksi menentang West Ham pada Ahad. 

Bos City itu dilihat lebih terbuka berbanding Jose Mourinho yang mengehadkan senarai latihan skuad utama seramai 26 orang di Manchester United dan mengetepikan pemain seperti Bastian Schweinsteiger.

Namun Guardiola sedar masalah yang bakal dihadapinya apabila mempunyai ramai pemain.

"Satu impian untuk bekerja sama hanya dengan 11 pemain dan tujuh orang di bangku simpanan, kerana semua orang akan gembira.

"Buat masa ini, terdapat 19 orang yang tidak bermain, jadi beritahu kepada saya bagaimana untuk menguruskannya. Ia sesuatu yang tidak mungkin berlaku," jelas pengendali dari Sepanyol itu.




Berikutan situasi tersebut, Guardiola diharap lebih sensitif terhadap pemain-pemain berbanding dengan rekod pencapaiannya.

Guardiola turut sedar kaedah layanan terhadap Joe Hart telah mendapat kritikan daripada bekas pemain City, Joey Barton yang 'menyampah' dengannya.

Malah pemain Stoke City, Xherdan Shaqiri turut merungut bahawa Guardiola telah mengosongkan tempatnya di Bayern Munich.

"Setiap hari saya cuba membantu pemain-pemain tetapi sudah tentu mereka mungkin tidak faham dengan situasi itu.

"Mereka pergi kepada media kerana mereka tidak bermain. Saya telah nyatakan kepada Shaqiri kenapa dia tidak bermain di Bayern, dan saya tidak boleh terus memberitahunya setiap minggu.

"Jadi saya buat keputusan dan pemain-pemain yang tidak bermain berasa tidak gembira. Satu sahaja alasan kenapa mereka tidak gembira - mereka rasakan "jurulatih tidak sayang saya".

"Semua 30 pemain layak untuk beraksi tetapi peraturan menetapkan hanya 11 orang sahaja. 

"Kamu menghabiskan sepanjang minggu mengukuhkan hubungan dengan pemain ketika latihan, berbual serta berbincang. Dan selepas itu kamu perlu mengetepikan mereka dan pastinya timbul persoalan di fikiran pemain, "apa masalah dengan lelaki ini?".

Dalam pada itu, Guardiola mendedahkan terdapat perubahan ketara selepas mengubah skuad Pellegrini sebelum ini.

Barisan belakang lebih banyak memberi tekanan, menjadi pemain yang kreatif untuk bertahan bermula dari depan, dan setiap pemain berlari purata lebih satu kilometer pada perlawanan bertemu Stoke minggu lalu, berbanding prestasi mereka musim lalu.

Toure pilih untuk kekal di City.


"Saya mahu lihat pemain-pemain lebih banyak menguasai bola kerana itu boleh membuatkan pihak lawan perlu berlari.

"Namun sesuatu yang sukar untuk memenangi perlawanan ke atas Stoke dalam tempoh singkat kerana perlu menyesuaikan diri dengan keadaan, angin, serta gaya permainan. Jadi pemain perlu lebih berlari apabila mereka tidak memegang bola. Dalam pada itu, Guardiola turut mengesahkan Yaya Toure akan kekal di City musim ini.

"Saya telah bercakap dengannya. Dia kata mahu kekal. Ok, jika dia mahu terus di sini, saya gembira. Banyak perlawanan yang bakal di hadapi. Semua orang perlu bermain dan saya tahu tahap kualitinya," jelas Guardiola yang menjual Toure ke City ketika menjadi pengurus di Barcelona.

"Sudah tentu saya amat mengenalinya dan sejak awal lagi tingkah lakunya di sini sangat sempurna".

Manchester City, pep Guardiola

Artikel Lain