KEDAH terpaksa menunggu sehingga 17 September depan bagi membuat perhitungan bagi melangkah ke separuh akhir apabila sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan pada perlawanan suku akhir pertama di Paroi pada Ahad malam. Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat yang turun dengan kesebelasan terbaiknya tidak menunggu lama untuk melakukan serangan bagi mendapatkan jaringan. Namun, Negeri Sembilan ternyata enggan membenarkan Kedah mengutip jaringan tempat lawan apabila memilih untuk bertahan. Selain itu, usaha Kedah juga sering digagalkan oleh pertahanan tuan rumah, Taylor Regan yang banyak melakukan halangan di bahagian tengah. Pada minit ke-14 cubaan penyerang tuan rumah berjaya di selamatkan oleh Ifwat Akmal Che Kassim yang berjaya mengekal persembahan terbaiknya. Berselang 10 minit kemudian, penyerang Kedah, Thiago Augusto yang mendapat peluang untuk menjaringkan gol pertama perlawanan gagal berbuat demikian apabila tandukannya hasil hantaran Rizal Ghazali dari sebelah kiri kotak penalti tepat ke arah penjaga gol tuan rumah. Dua minit kemudian Baddrol Bakhtiar memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun tendangan kencangnya dari dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Khaharudin Abd Rahman. Pada minit ke-34 cubaan Augusto yang digandingkan dengan Shane Smeltz ketika berdepan penjaga gol tuan rumah sekadar melepasi tiang kiri pintu gol. Bagaimanapun pemain Negeri Sembilan yang turut melakukan serangan hampir membuahkan hasil pada minit ke-45, malangnya cubaan Khairul Anuar Shaharudin berjaya ditangkap dengan kemas oleh Ifwat Akmal. Ketika perlawanan bersambung pada babak kedua, Kedah meneruskan penguasaannya namun gagal menemui penyudah. Pemain Kedah yang beraksi cemerlang sepanjang permainan bagaimanapun kelihatan letih di akhir perlawanan. Namun, anak didik Tan Cheng Hoe berjaya memastikan skuad tersebut tidak pulang hampa.