suria

Sorakan, Tepukan Gemuruh Buat Wira, Wirawati Olimpik Negara

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsan 2016 berlangsung dengan penuh semangat patriotik apabila rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan berkumpul di Dataran Merdeka bagi sama-sama meraikan tarikh keramat yang penuh bersejarah ini.

Perasaan bangga apabila lagu Negaraku  bergema diiringi Jalur Gemilang yang gah dinaikkan berkibar menyambut sambutan hari terpenting negara ini.

Istimewannya kali ini apabila perarakan merdeka diserikan dengan kehadiran wira dan wirawati Sukan Olimpik negara yang dibawa menaiki bas Hop On Hop Off melintasi pentas utama tetamu kehormat.

Kemunculan mereka disambut dengan sorakan dan tepukan rakyat yang tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan sambutan pada tanggal keramat 31 Ogos itu.

Pemenang pingat gangsa acara berbasikal keirin lelaki, Mohd Azizulhasni yang turut mengibar Jalur Gemilang mengakui sangat berbangga dapat meraikan hari bersejarah ini bersama-sama seluruh rakyat Malaysia.

"Saya sangat berbangga menjadi anak Merdeka dan bersyukur dengan keamanan serta kemakmuran yang kita kecapi sejak sekian lama," jelasnya yang teruja dapat menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh lapisan masyarakat kali ini.

Tidak ketinggalan juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menerima sorakan dan ada yang menjerit memanggil nama.

Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu berharap sokongan sama akan berterusan kepadanya walaupun beliau tidak lagi akan beraksi di Sukan Olimpik.

Saya sangat gembira dengan sokongan rakyat, tidak mengira apa bangsa pun...Melayu, Cina dan India. Kita sama-sama satu Malaysia," jelas pemain berusia 33 tahun itu.

Chong Wei mengakui pencapaian empat pingat perak dan satu gangsa adalah hadiah terbaik daripada atlet negara untuk sambutan Hari Kebangsaan kali ini. 

Selain itu, berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh bersejarah ini adalah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri-menteri kabinet lain.


Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia