suria

Skuad B-22 Seri Tanpa Jaringan Menentang Bahrain

Bernhardt tetap memuji persembahan anak buahnya.

SHAH ALAM: Penyudah yang tumpul memaksa skuad bawah 22 tahun (B-22) negara sekadar berpuas hati seri 0-0 dengan pasukan B-22 Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam Selasa.

Skuad kendalian jurulatih Frank Bernhardt bagaimanapun tetap mempamerkan aksi bertenaga menerusi beberapa percubaan di depan pintu gol lawan, tetapi cuma dihampakan dengan tindakan penyudah.

Namun tuan rumah menerima kejutan awal apabila rembatan pemain tengah Bahrain, Mahdi Abdulfatttah dari luar petak penalti pada minit ke-10 telah menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi, tetapi mujur bola terkena palang.

Tersentak dengan situasi itu, skuad negara bangkit mengasak dan tandukan penyerang negara Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew tersasar pada minit ke-14 sebelum S Kumaahran menambah tekanan kepada penjaga gol lawan, Mahboob Yahya Aldoseri, tiga minit selepas itu.

Muhamad Jafri sekali lagi beroleh peluang pada minit ke-40 tetapi gol yang dicari tetap tidak kesampaian.

Skrip sama berulang di babak kedua, apabila skuad negara gagal memberikan penyudah yang baik walaupun beroleh banyak peluang atau dihampakan tindakan pantas Mahboob.

Dua pemain yang dimasukkan pada babak kedua, Adam Nor Azlin dan Muhamad Arif Mohamed Anwar turut melakukan beberapa percubaan tetapi tetap gagal membuahkan hasil. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium UiTM, Shah Alam Jumaat ini.

Walaupun tiada jaringan dihasilkan, Bernhardt tetap memuji aksi yang ditonjolkan pemainnya.

"Kami mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi malangnya, pemain gagal menyempurnakannya. Namun mereka bermain dengan baik dan konsisten sehingga ke wisel penamat.

"Saya akan lakukan beberapa perubahan dalam pasukan untuk mendapatkan keputusan positif Jumaat ini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, jurulatih Bahrain, Marjan Eid berkata Malaysia memiliki pemain yang baik, selain kekuatan fizikal yang konsisten sehingga ke akhir permainan.

"Pemain saya sukar membolos gawang Malaysia tetapi saya puas hati dengan persembahan skuad saya.

"Saya akan kekalkan barisan ini dan berharap dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam pertemuan kedua Jumaat nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia