KULAI: Walaupun terlepas peluang meraih pingat gangsa acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran) di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada Selasa, keluarga Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin tetap berbangga dengan prestasi dilakar atlet paralimpik itu. Ibunya, Zatipah Omar, 55, berkata anak istimewanya itu sudah melakukan yang terbaik dan menyifatkan kemenangan dan kekalahan adalah ketentuan Tuhan. "Saya tidak pernah berasa kecewa terhadap dia, dia sudah buat yang terbaik. Memang cita-citanya sebelum ini ialah kalau menang, dia hendak bawa mak, ayah, suami, anak dan adik-beradiknya menunaikan umrah. "Namun, kami reda. Manalah tahu nanti dia menang pula dalam acara lompat jauh (wanita T20) esok di Rio," katanya ketika ditemui Bernama di rumah mereka di Kampung Melayu Seelong di sini hari ini. Dalam peringkat akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Rio pada Selasa, Siti Noor Iasah seakan sudah pasti merangkul pingat gangsa, bagaimanapun pingat itu terlepas dengan tindakan pelari Poland dan pemegang rekod dunia, Barbara Niewiedzial yang merebahkan diri di garisan penamat. Keputusan acara itu terpaksa ditentukan melalui 'photo finish' dan juri memberikan pingat gangsa kepada Niewiedzial. Siti Noor Iasah menamatkan saingan di tempat keempat dengan mencatat masa 58.55 saat (s), sekali gus memperbaiki rekod Sukan Asia miliknya iaitu 58.96s yang dicatat pada peringkat saringan awal pagi Isnin. Adik Siti Noor Iasah, Mohamad Din Hallafiz, 24, pula berkata dia berbangga dengan pencapaian kakaknya itu kerana sepanjang pembentukan kariernya, atlet itu pernah dilabel sebagai 'orang hutan' kerana keluarganya hanya mampu tinggal di dalam hutan pada masa itu. "Saya masih ingat, dulu masyarakat sekeliling kerap melontarkan perkataan negatif kepada kami. Duduk di dalam hutan, orang hutan, tak bergaul dengan orang, mak bapa biarkan anak terbiar dan bermacam-macam lagi. "Tetapi, mak sering berkata sabar, Ah Cik (gelaran untuk Siti Noor Iasah dalam kalangan keluarga), tunjukkan anak mak ini boleh berjaya dan buka mata semua orang. "Hari ini, walaupun dia tidak menang tetapi sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa anggapan orang-orang yang berpandangan negatif itu selama ini, salah apabila dia berjaya melonjakkan diri di peringkat dunia," katanya. Menurut bapanya, Mohamad Ariffin Khalid, 62, Siti Noor Iasah merupakan anak kelima daripada sembilan adik-beradik dan mula menampakkan minat dalam bidang sukan ketika berumur 13 tahun (Tahun 6). "Masa itu, dia masih berada di bangku sekolah rendah kerana mengalami masalah dalam pembelajaran. Namun, dia cemerlang dari segi kokurikulum dan menjadi wakil Johor dalam beberapa acara di peringkat kebangsaan. "Apabila guru darjahnya melihat potensi Siti Noor Iasah, dia terus membimbing sehinggalah membawa beliau ke Majlis Sukan Negeri (MSN) di Kulai sebelum diberi latihan," katanya. Mohamad Ariffin menambah, bermula daripada detik itu, Siti Noor Iasah tidak pernah memandang ke belakang, sebaliknya terus menumpukan kejohanan penting seperti Sukan Para ASEAN 2008 di Thailand, Sukan Para ASEAN 2009 (Kuala Lumpur), Sukan Para ASEAN 2015 (Singapura) dan Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2015 di Doha. "Di sebalik kejayaan yang dikecapi, Siti Noor Iasah pernah berhenti daripada bidang sukan selama lapan tahun kerana kekoyakan tisu pada kakinya semasa menjalani latihan acara lompat jauh. "Dalam tempoh itu, dia berkahwin dan mempunyai seorang anak dan kini, suaminya (Muhammad Hafiz Abu Bakar) yang menjadi jurulatih sambilan kepada Siti Noor Iasah kerana Muhammad Hafiz juga adalah atlet Orang Kurang Upaya (OKU) yang pernah memenangi pingat emas dalam beberapa kejohanan," katanya. - BERNAMA