suria

Isu Pendrive: FAM Belum Terima Laporan Penuh

(Afandi) tengah pada Kongres Tahunan FAM K-52, Khamis.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah mengakuinya pihaknya sentiasa mengamalkan sikap terbuka mengenai sebarang isu termasuk pemacu pena.

Biarpun sentiasa menjadi sasaran dalam apa sahaja perkara, termasuk isu pemacu pena (pendrive) sebelum ini, FAM tetap tidak mudah melatah dalam menghadapi situasi itu.

"Kami sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan sedia menerima segala cadangan serta pandangan bagi sama-sama menaikkan bola sepak negara.

"Mengenai isu pendrive itu, kami masih belum meneri laporan penuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami akan melihat laporan tersebut dalam mesyuarat sebaik sahaja menerimanya. Dalam pada itu, pihak FAM juga ada barisan siasatan sendiri yang diketua Tan Sri Aseh Che Mat ," jelasnya selepas Kongres Tahunan Ke-52 FAM pada Khamis.

Julai lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik posting di halaman Facebook Johor Southern Tigers dengan mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai aktiviti rasuah dalam FAM, yang disimpan dalam pemacu pena.

Pada 2 September lalu, Tunku Ismail menyerahkan pemacu pena tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika menerima kunjungan di Istana Bukit Pelangi, Johor Baru.

Pemacu pena yang dikatakan mengandungi 279 halaman mengenai bukti dakwaan rasuah kemudian diserahkan oleh Khairy kepada SPRM.

Tunku Ismail kemudiannya menjelaskan bahawa kandungan pemacu pena tersebut adalah mengenai isu teknikal FAM.

Katanya, ia termasuk sikap pilih kasih jurulatih yang tidak profesional dan exco FAM yang tidak menjalankan tugas dengan betul.

Namun pada 5 September lalu, SPRM bagaimanapun menjelaskan ia tidak menemui sebarang elemen rasuah dalam kandungan pemacu pena tersebut.

Selain itu, kongres tahunan berlangsung tanpa kehadiran Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berada di luar negara atas urusan yang tidak dielakkan.

Bagaimanapun, kongres tersebut berjalan lancar dengan pembentangan laporan-laporan aktiviti FAM sepanjang tahun 2015.

Tarikh bagi Kongres Tahunan Ke-53 awal tahun depan yang dijangka menyaksikan perubahan dalam pucuk pimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara ini akan diumumkan pada Oktober ini.

Artikel Lain