KULAI: Keluarga atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin positif terhadap potensi beliau dalam acara seterusnya - lompat jauh T20 wanita (masalah pembelajaran) yang bakal berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, malam Khamis. Bercakap kepada The Star, ibunya, Zatipah Omar, 55, yang berkerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah berkata mereka sudah berbangga dengan pencapaian Siti Noor Iasah di Paralimpik Rio setakat ini, kerana beliau dianggap sebagai wira Malaysia. Siti Noor Iasah terlepas pingat pingat gangsa acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran) dengan tindakan pelari Poland dan pemegang rekod dunia, Barbara Niewiedzial yang merebahkan diri di garisan penamat. Satu-satunya sagu hati yang diraih Siti Noor Iasah apabila beliau mencatat masa 58.55 saat, sekali gus memperbaiki rekod Sukan Asia miliknya iaitu 58.96s yang dicatat pada peringkat saringan, Selasa. "Walaupun kecewa dengan keputusan juri yang memberikan pingat gangsa kepada pelari Poland, kami tahu dia terus tekun dan bakal memberikan aksi terbaik dalam acara lompat jauh nanti. "Kami sentiasa menaruh harapan, mendoakan kejayaannya dan mengikuti perkembangan terkini perlawanan melalui Internet," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Melayu Seelong di Senai, Khamis.