suria

Chong Wei Kekal Status No.1 Dunia

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengekalkan kedudukan sebagai pemain perseorangan nombor satu dunia sejak 9 Jun lepas dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (WBF) Khamis.

Chong Wei, pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 bulan lepas, mengumpul 91,773 mata selepas beraksi dalam 14 kejohanan.

Jaguh Olimpik Rio, Chen Long dan Lin Dan, kedua-dua dari China, masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga dengan mengumpul 86,984 dan 77,188 mata.

Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, yang turut merangkul pingat perak di Rio, mengekalkan kedudukan di tangga keempat untuk minggu keempat berturut-turut selepas mengumpul 63,237 mata.

Juara remaja dunia, Goh Jin Wei, yang menjadi naib juara Indonesia Masters baru-baru ini, melonjak 14 anak tangga untuk menghuni ranking ke-36 dengan 31,706 mata.

Pemain perseorangan wanita utama negara, Tee Jing Yi mengekalkan kedudukan di tangga ke-29 dengan 34,885 mata manakala beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei turut mengekalkan ranking ke-13 dengan 48,917 mata.

Pemenang pingat perak Sukan olimpik Rio, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying juga kekal di tangga kelapan dengan 61,920 mata manakala Tan Kian Meng/Lai Pei Jing melonjak enam anak tangga untuk menghuni ranking ke-18 dalam acara beregu campuran. - BERNAMA

Lee Chong Wei, ranking WBF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain