suria

Ratu Pecut Negara Sasar Perbaiki Catatan Masa

KUALA LUMPUR: Ratu pecut pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mahu menggunakan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 sebagai bekalan untuk memperbaiki catatan masa pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di sini dari 30 September hingga 2 Oktober ini.

Atlet berusia 23 tahun itu menyasarkan catatan masa bawah 11.60s berbanding catatan terbaiknya 11.93s yang dicapai pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Untuk pecah rekod kebangsaan itu tak mustahil tetapi perlu bekerja dengan lebih keras dan berlatih dengan bersungguh-sungguh.

"Saya telah belajar banyak perkara di Rio apabila bersaing dengan pelari-pelari yang lebih hebat dan bertaraf dunia. Saya akan menggunakannya untuk memperbaiki prestasi saya," kata pelajar Sarjana Muda Pendidikan Jasmani, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Rekod acara 100m wanita kebangsaan masih dipegang oleh G. Shanti yang mencatatkan 11.50s pada tahun 1993.

Zaidatul, yang mendapat peluang beraksi di Rio bulan lepas atas tiket wildcard, mencatatkan 12.12s pada saringan, namun gagal melayakkan diri ke pusingan kedua selepas menamatkan larian di tempat tercorot dengan 12.62s.

Atlet di bawah kendalian jurulatih M.Balamurugan itu juga mengharapkan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menghantarnya untuk menjalani latihan di luar negara.

"Saya ada minta untuk menjalani latihan di Filipina tetapi belum dapat lagi.

Buat masa ini saya baru dapat pergi menjalani latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTI) Bandar Penawar," katanya.

Pada Terbuka Malaysia nanti, Zaidatul akan mengambil bahagian dalam acara 100m, 200m dan 4x100m. - BERNAMA

Ratu Pecuh, Olahraga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain