suria

Liga Europa: Man United Dimalukan Feyenoord, Mourinho Tak Puas Hati

MANCHESTER United dimalukan Feyenoord Rotterdam dengan skor 1-0 dalam perlawanan Liga Europa yang berlangsung awal pagi Jumaat.

Jurulatihnya, Jose Mourinho bagaimanapun menganggap gol kemenangan Feyenoord itu sebagai offside.

Secara keseluruhannya United menunjukkan permainan yang meyakinkan dalam pertandingan itu.

Namun, Paul Pogba dan rakan-rakan tetap tidak mampu mandapatkan gol, sebaliknya gawang David de Gea dibolosi oleh pasukan tuan rumah pada minit ke-79 melalui Tonny Vilhena.

United sejak awal lagi telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan membawa beberapa pemain penting, seperti Wayne Rooney dan Luke Shaw untuk bertandang ke Rotterdam.

Penyerang Zlatan Ibrahimovic pula disimpan di bangku simpanan.

Mengulas mengenai kekalahan pasukannya, Mourinho seakan-akan masih tidak dapat menerima gol kemenangan Feyenoord.

Dia menyatakan keraguan terhadap Nicolai Jorgensen yang memberikan assist kepada Vilhena dalam posisi offside sebelum berlakunya gol.

"Pada separuh masa pertama kami tidak menunjukkan sikap, terutamanya keazaman yang tinggi," katanya, memetik theguardian.com.

"Saya tidak kata tidak baik, tetapi saya menyatakan keazaman yang diperlukan untuk memenangi perlawanan bola sepak. Kami tidak mencuba untuk menang, kami hanya mengawal permainan dan menunggu kemungkinan untuk menang atau untuk kalah.

"Separuh masa kedua adalah berbeza, di mana kami berusaha untuk menang dan Feyenoord mencuba untuk tidak kalah. Kemudian mereka menjaringkan gol, yang saya tidak fikir kami berhak menerimanya. Dan lebih malang lagi kerana dia berada dalam kedudukan offside."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain