KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan mempertimbangkan semula isu berkaitan kuota yang dibangkitkan Zolkefli Othman, bapa pemenang pingat emas acara lontar peluru paralimpik, Muhammad Ziyad. Khairy berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan ahli keluarga atlet terbabit kerana bimbang berlaku kesesakan dan masalah pengangkutan yang perlu disediakan Khamis ini. "Tidak semestinya lima, kita akan cuba beri lebih kuota lagi tetapi kita risau kesesakan akan berlaku dan pengangkutan juga terpaksa disediakan untuk membawa keluarga dari KLIA ke Kampung Pandan," katanya. Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai sambutan kepulangan atlet paralimpik itu Khamis ini yang akan diadakan secara besar-besaran sebagai tanda penghormatan terhadap golongan istimewa yang berjaya meraih emas pertama dalam kejohanan berprestij itu. Atlet paralimpik terlibat bakal diarak menaiki bas dari Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) seterusnya ke Pavilion Bukit Bintang dan akan berakhir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan. "Sambutan ini berdasarkan kepada pencapaian luar biasa mereka yang berjaya merangkul empat pingat, tiga emas dan satu gangsa seterusnya menjadikan pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia di paralimpik". Tambah Khairy lagi, orang ramai yang ingin turut serta meraikan kepulangan atlet golongan istimewa ini dialu-alukan untuk memenuhi Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan itu nanti. "Di sini juga saya menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta menyambut kepulangan mereka di sepanjang laluan di pusat bandar Kuala Lumpur", katanya.