LONDON: Manchester United tidak berdepan masalah besar untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya pada aksi Piala EFL awal pagi Khamis apabila menumpaskan pasukan kerdil, Northampton Town dengan keputusan 3-1. Namun kemenangan tersebut tidak menjadi tumpuan peminat tegar kelab gergasi yang mencatat rekod sebagai kelab Britain pertama memperoleh pendapatan lebih 500 juta pound (RM2.6 bilion) pada tahun lalu. Sebaliknya, video amatur yang merakamkan aksi pemain-pemain Red Devils memanaskan badan selama 10 minit di tempat letak kereta di depan Hotel Marriot sebelum menentang Northampton Town, ternyata mencuri perhatian ramai. Rakaman itu mencetuskan tanda tanya sama ada Mourinho sengaja mengarahkan sesi latihan diadakan di lokasi tersebut sebagai sebahagian teknik psikologi untuk memulihkan semangat pemainnya susulan kekalahan tiga perlawanan berturut-turut. Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak kelab berhubung perkara tersebut. Terdahulu, Manchester United dijadualkan bertemu Manchester City saingan EFL, sekali gus berpeluang membalas dendam terhadap kelab musuh setempat itu ekoran kekalahan 1-2 pada 10 September lalu dalam pertemuan liga.