KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menempah slot ke pusingan separuh akhir kejohanan badminton Siri Super Terbuka Jepun. Pada perlawanan yang berlangsung pada Khamis di Gimnasiun Metropolitan Tokyo itu, Chong Wei menundukkan pemain China dari pusingan kelayakan, Shi Yuqi dengan straight set, 21-12 dan 21-12. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil itu bakal berhadapan pemain Jerman, Marc Zwiebler. Turut mengiringi jaguh negara itu ialah beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying namun beregu wanita Vivian Ho-Woon Khe Wei tewas 22-20, 21-23 dan 14-21 kepada pasangan ranking kelima dunia, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl dari Denmark. Peng Soon-Goh Liu Ying menyekat kemaraan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Shin Seung Chan 21-17, 21-18. Pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu dijadualkan bertemu pasangan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na dari Korea Selatan atau Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - BERNAMA