suria

Piala Malaysia: PDRM Harap Sentuhan Magis De Paula

Mohd Fauzi Pilus.

PETALING JAYA: Sentuhan magis penyerang utama PDRM, Guilherme De Paula menjadi sandaran skuad Sang Saka Biru menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada 30 September ini.

Ketua Jurulatihnya, Mohd Fauzi Pilus berkata De Paula yang digantung perlawanan kerana dilayangkan kad merah akan kembali memperkuat PDRM menjelang pertemuan dengan Kelantan pada aksi Liga Super, malam Jumaat.

"Insya-Allah dia akan diturunkan pada pertemuan penting itu nanti. Namun saya lega kerana dia sudah boleh beraksi malam ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata kehadiran semula De Paula akan menjadi nadi penggerak utama pasukan dalam memburu slot ke aksi final Piala Malaysia.

"Saya nampak kehadiran De Paula sedikit sebanyak menaikkan motivasi pemain muda. Dia menjadi inspirasi kepada pasukan. Dia juga berupaya mencipta peluang kepada Safuwan Baharuddin untuk menjaringkan gol," katanya sambil menambah pemain PDRM kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Jelas Mohd Fauzi, misi utama pasukan adalah untuk mencipta kemenangan dan bukan sekadar melayakkan diri ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Saya yakin De Paula akan menjadi ancaman utama kepada Kedah. Dia memang banyak membantu pasukan dengan memanfaatkan segala pengalamannya beraksi di peringkat tertinggi sebelum ini," katanya.

Guilherme De Paula.

Ditanya mengenai persediaan menentang Kedah, Mohd Fauzi berkata segalanya berjalan dengan lancar dan mengharapkan agar anak buahnya sentiasa waspada dengan ancaman pasukan tuan rumah itu nanti.

"Kami hanyalah sebuah pasukan 'underdog' jika dibandingkan dengan Kedah yang mantap ketika ini. Namun kita akan bermain 'all out' kerana alang-alang sudah mara ke separuh akhir.

"Apa yang penting pada ketika ini, pemain perlu beri tumpuan dan beraksi sepenuh tenaga mereka. Malah mereka juga perlu berani dan matang dalam membuat keputusan," katanya.

Menurut Mohd Fauzi, jika anak buahnya mencipta kejutan ke atas Kelantan di Stadium Mohammad IV malam Jumaat, keputusan itu akan memberi momentum kebangkitan kepada pasukan untuk memantapkan lagi strategi perlawanan ketika berkunjung ke Stadium Darul Aman nanti.

"Mudahan begitulah. Kita akan main seperti biasa, tiada sebarang strategi rahsia dan cuba mengelak melakukan sebarang kesilapan yang boleh merugikan pasukan.

"Insya-Allah kita doakan yang terbaik. Siapa tahu rezeki mungkin berpihak kepada kami," katanya.

PDRM mara ke pusingan separuh akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 2-2 dengan Kelantan pada aksi suku akhir.

Sementara itu, Kedah pula menempah tiket ke suku akhir selepas membelasah Negeri Sembilan dengan jaringan 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Sabtu lalu.












PDRM, Kedah, separuh akhir, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain