LIRIDON Krasniqi mengingatkan rakan sepasukannya supaya memberi sepenuh perhatian ketika turun menentang Terengganu dalam saingan Liga Super di Gong Badak pada Sabtu malam. Pesanan itu diberikan kerana pemain tengah Kedah itu tidak mahu skuadnya tercicir mata penting ketika liga menghampiri penghujungnya. "Kami mahu pulang dengan tiga mata penuh kerana ia penting untuk Kedah kekal sebagai penghuni tangga ketiga liga. "Oleh itu, semua pemain termasuk saya perlu memberi perhatian dan tidak melakukan kesilapan yang boleh memberi peluang kepada pasukan tuan rumah," katanya kepada mStar Online. Menurutnya, malam ini adalah peluang terbaik untuk memastikan mereka menamatkan Liga Super musim ini di tempat ketiga seperti yang disasarkan pihak pengurusan. "Saya dan rakan tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Kami akan berusaha mencapai kemenangan pada perlawanan kali ini. "Kita tahu Terengganu bukan mudah untuk ditewaskan kerana mereka mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. "Tetapi dengan usaha dan semangat kesemua pemain, kami akan berusaha membawa pulang kemenangan," jelasnya. Krasniqi turut yakin persembahan kali ini akan bertambah baik kerana persefahaman antara dia, Shane Smeltz dan Thiago Augusto semakin baik berdasarkan kejayaan yang dicipta sebelum ini. "Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe sudah melakarkan strategi terbaik bagi memastikan kita tidak kecewa di Terengganu dan kami akan melaksanakan segala arahannya dengan sebaik mungkin supaya tidak mengecewakan pihak pengurusan dan juga ribuan peminat setia. "Kemenangan ini juga penting untuk membakar semangat saya dan rakan-rakan untuk mengharungi perlawanan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia," ujarnya.