KUALA TERENGGANU: Seorang peserta Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2017 yang berlangsung hari ini mencuri tumpuan apabila berlari dengan mengenakan sepersalinan baju Melayu. Mohd Shahril Alias, 33, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata dia memakai pakaian tradisional itu bertujuan menaikkan semangat untuk dirinya dan peserta lain dalam misi menamatkan larian sejauh 21 kilometer itu. Sharil yang menyertai larian itu sejak dua tahun lepas berkata kelainan dalam berpakaian akan diteruskan dalam acara itu pada tahun depan. "Tahun lepas, saya mengenakan pakaian seragam sekolah, jika panjang umur dan berpeluang menyertai acara ini untuk kali keempat pada tahun depan, saya bercadang mahu memakai kostum nelayan pula," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat acara berkenaan. Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata LAJSM 2017 akan dipromosikan secara besar-besaran sempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan berikutan sambutan penyertaan yang meningkat setiap tahun. Katanya, penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu berjaya mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu lebih 50,000 penyertaan. "Tahun lepas, kita dapat 30,000 penyertaan sahaja, kemudian saya beritahu Majlis Sukan Negeri supaya lebih banyak promosi dibuat dan Alhamdulillah hasilnya pada hari ini, kita berjaya dapatkan 50,219 peserta untuk acara ini. "Daripada jumlah itu, seramai 200 peserta adalah dari luar negara dan ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat memberi impak positif terhadap industri sukan negeri malah akan meletakkan industri pelancongan Terengganu di mata dunia," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang acara itu di sini pada Sabtu. Sebanyak lima kategori dipertandingkan dalam acara itu iaitu 42 kilometer (km), 21km, 12km, lima dan tiga kilometer untuk kanak-kanak. - BERNAMA