KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai sebahagian daripada tonggak utamanya bakal meninggalkan The Red Warriors bagi menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Setiausaha Agungnya Datuk Ismail Md Nor berkata khabar angin berkenaan mungkin sengaja dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa sebarang sebab yang jelas. "Saya tidak ada matlumat tersebut, mungkin ia satu khabar angin yang diciptakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya dia tahu tujuan sebenarnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad. Sebelum ini, tersebar berita menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan beberapa tonggak utama The Red Warriors membayangkan hasrat untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim depan selepas kecewa dengan sistem dan pengurusan KAFA dalam beberapa perkara seperti pembayaran gaji. Antara pemain yang disebut bakal 'angkat kaki' ialah Wan Zack Haikal Wan Noor yang akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Badri Mohd Radzi (Melaka United) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakari (JDT atau Selangor). Selain itu, Nor Farhan Muhammad (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United atau Kedah), Brendan Gan (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin (T Team). Khabar angin itu juga menyatakan Ketua Jurulatih Kelantan Velizar Emilov Popov juga bakal meninggalkan The Red Warriors selepas kecewa kerana masih ada 'tangan ghaib' yang mencampuri urusan dalam pasukan itu. Lebih memburukkan keadaan, khabar angin itu turut mendakwa penaja terbesar The Red Warriors, Vida Beauty Sdn Bhd turut mengambil keputusan untuk tidak lagi menaja pasukan itu pada musim depan kerana kecewa dengan prestasi dan kemerosotan pasukan itu. - BERNAMA