KUCHING: Kejayaan penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) akan diperluaskan dengan mengadakan liga khusus untuk wanita mulai tahun depan. Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah berkata penekanan kepada pembangunan perlu sentiasa diberi perhatian selaras dengan kehendak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menetapkan setiap ahli gabungan memberi perhatian kepada bola sepak wanita. Lantaran itu, katanya, selain kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah, LBR untuk wanita akan digunakan untuk mengembangkan penglibatan golongan tersebut. "FAM telah bersetuju mulai tahun depan, LBR akan menganjurkan kejohanan melibatkan wanita. Kita berharap kejohanan seperti ini dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili negara. "Seperti kita maklum tahun depan akan diadakan Sukan SEA, sebagai tuan rumah kita menghantar empat pasukan iaitu bola sepak lelaki dan wanita, serta futsal lelaki dan wanita," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan LBR di sini. Turut hadir Naib Presiden FAM Datuk Sudarsono Osman dan Pengerusi LBR, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman. Sebanyak 109 pasukan menyertai LBR musim kedua yang bermula Sabtu lalu. - BERNAMA