PITTSBURG: Legenda golf, Arnold Palmer yang juga digelar sebagai "Raja Golf" disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada usia 87 tahun di sini pada Ahad. Ketua Pegawai Eksekutif Arnold Palmer Enterprises, Alastair Johnson berkata, mendiang dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu untuk mendapatkan rawatan tetapi keadaannya semakin lemah sejak beberapa hari lepas. Selain kecemerlangannya dalam sukan golf dengan memenangi tujuh kejohanan utama dalam tempoh enam tahun, ramai pihak mengenang jasa Palmer mempopularkan sukan itu ketika zaman televisyen baru bermula. Bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods antara individu terawal menyampaikan ucapkan takziah atas pemergiaan legenda tersebut. "Sukar dibayangkan dunia golf tanpa anda atau sesiapa sahaja yang penting dalam sukan ini berbanding Raja Golf. "Terima kasih Arnold atas persahabatan, nasihat dan gurauan. "Sifat pemurah dan rendah diri menjadikan anda sebagai legenda," kata Woods menerusi kenyataan dalam laman Twitter. Dalam wawancara pada 2004 ketika Palmer bermain untuk kejohanan Masters yang terahir, Wood berkata, jika bukan disebabkan mendiang, golf tidak akan popular seperti sekarang. "Mendiang yang menyebabkan sukan golf disiarkan dalam televisyen. "Jika bukan disebabkan bakat, keterujaan, dan cara beliau bermain, sudah tentu perkara itu tidak akan berlaku. "Sebab itu mendiang menjadi Raja," kata Woods. Bagi tempoh 40 tahun selepas kali terakhir memenangi Jelajah PGA, Palmer masih tersenarai sebagai individu yang meraih pendapatan tinggi dalam sukan golf. Sepanjang kariernya, pemain kelahiran Amerika Syarikat itu pernah memenangi 62 kejohanan Jelajah PGA.