KUALA LUMPUR: Liga Perdana Junior (JPL) yang bakal dilancarkan bermula 8 Oktober ini berupaya menjadi medan terbaik untuk melonjakkan bakat pemain-pemain muda ke tahap yang lebih tinggi. JPL yang pertama kali diadakan bagi memastikan pemain-pemain muda berusia enam hingga 10 tahun memiliki peluang mempamerkan kemahiran mereka selepas berhempas-pulas menjalani latihan dari kelab masing-masing. Pengarah Operasi JPL, Muzafar Abdul Mutalib berkata, golongan pemain muda ini hanya memiliki ruang yang terhad untuk berasing dengan lebih luas walaupun di Malaysia memang banyak kelab-kelab bola sepak untuk peringkat junior. "JPL bukan kelab bola sepak, tetapi kami mengambil inisiatif untuk mengadakan liga khas untuk kanak-kanak. "Bagi saya ini adalah salah satu jalan terbaik bagi membantu dalam program pembangunan bola sepak negara. "Formatnya lebih kurang sama seperti Liga Malaysia atau Liga Perdana Inggeris dan mengikut kesesuaian tahap umur mereka. "Pada musim pertama JPL ini, mereka akan bersaing untuk merebut trofi liga dan juga Piala FA dan ianya terbuka kepada semua kelab untuk menghantar pasukan mereka menyertai liga ini berdasarkan tiga kategori yang dijalankan. "Ingin saya jelaskan bahawa, JPL tidak menawarkan sebarang hadiah wang tunai kepada juara liga kerana objektif utama kami adalah mahu setiap pemain fokus kepada persaingan sihat, bukan bersaing untuk hadiah wang," jelasnya kepada mStar Online selepas majlis pelancaran JPL pada Rabu. Dalam pada itu, Muzafar memaklumkan sehingga kini terdapat 36 pasukan yang terdiri daripada 720 kanak-kanak. "JPL mempunyai tiga peringkat umur iaitu Bawah 6 Tahun, Bawah 8 Tahun dan Bawah 10 Tahun yang akan bermain secara liga selama 25 minggu, sehingga Mei depan. "Sebelum ini kita dapat lihat, bakat-bakat mereka agak tersekat memandangkan kekurangan persaingan kompetitif. "Dengan adanya JPL ini, ia sekurang-kurang dapat membantu pengurusan bola sepak tanah air meninjau prospek pemain untuk diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi, malah memberi kepuasan kepada pemain itu sendiri kerana tempoh liga yang panjang," jelasnya lagi. Selain itu, sebanyak 12 pasukan akan bersaing dalam setiap kategori umur dengan tujuh pemain utama dalam tempoh 50 minit (B-10), 40 minit bagi B-8 tahun manakala pasukan bawah enam tahun beraksi selama 30 minit.