KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal mara ke final selepas tumpas di tangan juara bertahan, Amanda Sobhy dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Terbuka Netsuite di San Francisco, Amerika Syarikat, lewat Jumaat. Nicol, 33, membuka langkah kanan dengan menang set pertama 12-10 tetapi terpaksa akur kudratnya gagal menyekat kebangkitan pemain yang 10 tahun lebih muda dari Amerika Syarikat itu apabila tewas pada tiga set berikutnya. Sobhy mencipta kemenangan pertama ke atas Nicol, bekas pemain nombor satu dunia itu, apabila melangkah ke final dengan kemenangan 12-10, 11-5, 11-2 dan 11-5. Pemain kelahiran Boston itu akan bertemu dengan pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England pada final esok. Massaro, selaku pilihan utama, menepati ramalan apabila menyingkirkan pemain veteran dari New Zealand, Jolle King dengan keputusan 12-10, 11-5 dan 11-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir. Kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai US$150,000 (RM620,000).