PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata persatuan sukan yang terlibat dengan kes doping atlet pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lepas, perlu tampil menjelaskan isu tersebut. Khairy berkata badan induk sukan iaitu angkat berat, memanah dan tinju perlu tampil memberi penjelasan situasi kes doping yang melibatkan atlet mereka sekiranya ada tindakan selanjutnya mengenai kes tersebut. "Pengumuman perlu dibuat oleh persatuan itu sendiri, sama ada akan membuat ujian sampel B ataupun prosiding pendengaran kes doping," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Akademi Sazali Samad di i-Tech Tower, Shaftsbury, Cyberjaya di sini Selasa. Empat pemenang pingat pada Sukma Sarawak, disahkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dari 20 hingga 30 Julai lepas. Dua daripada empat atlet berkenaan yang tidak dinyatakan nama adalah atlet memanah yang dikatakan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine serta masing-masing seorang atlet angkat berat (anabolic steroids) dan tinju (diuretics). Kesemua atlet berkenaan berdepan hukuman penggantungan empat tahun sekiranya didapati bersalah mengambil bahan terlarang tersebut selaras dengan kod Agensi Anti-Doping Dunia (Wada). Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 15 Oktober ini untuk atlet berkenaan membuat pengakuan atau mencabar sampel B. Selepas tarikh itu, MSN akan mengadakan sesi pendengaran untuk mendapatkan penjelasan daripada atlet itu sendiri sebelum menghantar laporan kepada menteri, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sukma. Dalam perkembangan lain, Khairy berkata isu sembilan lelaki warga Australia yang memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang semasa menyaksikan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) di Litar Sepang pada Ahad lepas, kini menjadi kes polis. Polis telah menahan kesemua mereka yang berumur antara 25 dan 29 tahun kira-kira 5 petang dua hari lepas, dan direman selama empat hari bermula Isnin. - BERNAMA