suria

Pemilihan Atlet Perlu Berdasarkan Merit - KJ

Khairy (dua, kiri) menurunkan tandatangan simbolik merasmikan pelancaran Akademi Sazali Samad di Lobi i-Tech Shaftbury Square pada Selasa. Turut hadir atlet bina badan, Sazali Samad (kiri). fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang disenarai pendek dalam skuad polo kebangsaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mahu pemilihan atlet dalam pasukan itu dilakukan berdasarkan merit.

"Baru senarai awal, keputusan muktamad dibuat tahun depan antara Mac atau April, saya harap yang dipilih itu dapat menyumbang kepada prestasi yang terbaik kepada pasukan.

"Pemilihan harus kepada merit dan kebolehan," kata Khairy kepada pemberita selepas pelancaran Akademi Sazali Samad di i-Tech Tower, Shaftsbury, Cyberjaya di sini Selasa.

Presiden Putra Polo Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam laporan media pada Selasa berkata Khairy antara 12 pemain yang disenarai pendek oleh Persatuan Polo Diraja Malaysia untuk beraksi di Sukan SEA tahun depan.

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai menteri Kabinet pertama menyertai Sukan SEA, Khairy berkata sekiranya beliau terpilih, atlet lain akan menjadi inspirasi kepadanya walaupun beliau berstatus menteri.

"Saya rasa atlet lain akan menjadi inspirasi kepada saya sekiranya saya dipilih, masih lagi ada beberapa kejohanan sebelum pemilihan dimuktamadkan.

"Kejohanan Terbuka Malaysia bermula minggu ini dan ada latihan terakhir tahun ini di Argentina, selepas itu baru kita dapat lihat sejauh mana kemampuan pemain untuk menjadi wakil negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain