TEMPOH pengantungan Maria Sharapova atas kesalahan doping selama dua tahun dikurangkan kepada 15 bulan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Sharapova kini boleh kembali semula ke gelanggang tenis pada 26 April tahun depan. Ini bermaksud pemain Rusia itu boleh beraksi pada kejohanan Rabat atau Prague atas tiket wild card atau Terbuka Perancis, Grand Slam pertamanya sejak digantung perlawanan. Juara Grand Slam lima kali itu pada Mac lalu disahkan gagal ujian doping. Sharapova diuji positif menggunakan bahan terlarang, meldonium ketika Terbuka Australia, Januari lalu. Susulan itu, pemain berusia 29 tahun dilarang beraksi selama dua tahun oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) tetapi dia mengemukakan rayuan terhadap CAS dan hukumannya diringankan. Mahkamah itu memutuskan penggunaan bahan terlarang itu di luar tarikh penggantungannya adalah tidak disengajakan. "Saya telah belajar daripada kesilapan ini. CAS membuat keputusan bahawa panel sebulat suara menolak pelbagai kesimpulan tribunal ITF. "Saya mengaku bertanggungjawab sejak awal lagi kerana tidak mengetahui bahan larangan yang diambil sejak 10 tahun lalu tidak lagi dibenarkan. "Namun saya juga belajar bagaimana persekutuan lain memaklumkan atlet mereka mengenai perubahan peraturan terutamanya di Eropah Timur di mana Mildronate diambil jutaan orang. "Kini proses ini sudah berakhir, saya berharap ITF dan pihak anti doping berkaitan tenis akan mengkaji usaha persekutuan lain supaya tiada lagi atlet lain melalui apa yang telah saya alami," katanya.