KUALA LUMPUR: Menghargai sumbangannya kepada negara, Datuk Lee Chong Wei dinaikkan pangkat selaku Komander (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM). Jaguh badminton negara itu menerima pemakaian pangkat Leftenan Komander (Kehormat) PSSTLDM pada 1 Mei 2012. Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kenaikan pangkat itu berkuatkuasa pada 29 Ogos lalu. "Penganugerahan tauliah Komander itu diberikan bagi menghargai kegigihan dan pencapaian cemerlang Chong Wei dalam arena sukan badminton," katanya di majlis pemakaian pangkat itu yang berlangsung di KD Sri Gombak di sini, Khamis. Chong Wei ditemani isterinya Datin Wong Mew Choo. Ahmad Kamarulzaman berkata, sumbangan Chong Wei dalam mengharumkan nama negara mampu menarik minat golongan profesional sukan untuk menyertai PSSTLDM. "Kami warga TLDM berasa amat bertuah kerana mempunyai seorang Olympian di dalam pasukan ini," katanya. Sementara itu, Chong Wei menyifatkan penganugerahan pangkat itu sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk mempamerkan aksi terbaik menjelang Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Denmark pada 18 Oktober dan Terbuka Perancis, 25 Oktober ini. "Terima kasih kepada TLDM. Kenaikan pangkat ini melonjak semangat saya untuk bekerja lebih keras demi negara," katanya. Chong Wei akan bertolak ke Odense, Denmark pada 15 Oktober ini dalam menghadapi kejohanan siri super yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$700,000. Atlet kelahiran Pulau Pinang itu antara 41 pegawai yang diraikan dalam upacara pemakaian pangkat tersebut.