suria

Sukan SEA Pertandingan Tahap Rendah - TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berminat untuk beraksi dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur (KL 2017) bagi acara polo kerana menganggap ia temasya peringkat rendah.

Sebaliknya Tunku Ismail berkata, beliau mempunyai komitmen untuk beraksi pada kejohanan peringkat antarabangsa untuk acara tersebut yang disertainya di Argentina.

"Ya, saya mengetahui bahawa sukan polo ini akan dipertandingkan semasa temasya itu nanti, kerana saya juga mendapat jemputan mewakili negara sejak dari dulu lagi.

"Bukan saya tidak mahu bermain, ini kerana pertandingan Sukan Sea ini adalah satu pertandingan peringkat lebih rendah dibandingkan dengan pertandingan tertinggi antarabangsa yang saya sertai di Argentina.

"Saya mempunyai komitmen setiap tahun untuk beraksi di sana. Jadi, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang mewakili negara nanti," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Pada Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dijangka menjadi ahli Karbinet pertama mewakili negara sebagai atlet di pentas antarabangsa selepas berada dalam senarai pendek skuad kebangsaan yang bakal beraksi pada Sukan SEA di ibu negara tahun depan.

Presiden Putra Polo, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dipetik sebagai berkata, Menteri Belia dan Sukan berusia 40 tahun itu antara 12 pemain yang disenarai pendek oleh Persatuan Polo Diraja Malaysia.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau berminat membabitkan diri atau mempunyai peranan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail enggan memberikan komen lanjut.

"Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Cuma saya nak cakap 'jika anda bergaul dengan ayam, anda akan berkokok dan jika anda bergaul dengan helang, anda akan terbang tinggi'," katanya.

Tunku Ismail sebelum ini disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menerajui kepimpinan badan induk bola sepak negara itu selepas penyandangnya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan melepaskan jawatan tersebut pada tahun depan.

Namun beliau dilaporkan tidak berminat dengan jawatan tersebut dan mahu memberikan tumpuan terhadap kelab miliknya, Johor Darul Ta'zim (JDT).


JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, TMJ

Artikel Sebelum

Artikel Lain