KUALA LUMPUR: Pemenang dua pingat emas acara angkat berat Sukan Malaysia (Sukma), Khairul Anuar Mohamad hari ini disahkan sebagai atlet yang positif doping pada temasya yang berlangsung di Sarawak, Julai lepas. Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) ketika mengumumkannya berkata pingat emas Khairul Anuar yang mewakili Pahang dalam kategori lelaki 94 kilogram bagi disiplin 'snatch' dan 'clean and jerk', juga ditarik balik. Setiausaha Kehormat PABM Pang Siew Huat berkata persatuan itu akan membuat sesi pendengaran pada bulan depan untuk Khairul Anuar membela diri serta memberi sebab mengapa beliau memasukkan bahan terlarang jenis anabolic steroid ke dalam badannya. "Seterusnya Jawatankuasa Disiplin PABM yang dipengerusikan Abu Hanapah Ismail bakal menjatuhkan hukuman," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Pang juga menegaskan mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), bahan terlarang yang digunakan Khairul Anuar itu dikategorikan sebagai kesalahan yang mengakibatkan hukuman gantung empat tahun mandatori. "Kesalahannya dikesan sewaktu pertandingan dan itu lebih serius dan tiada maaf," katanya. Pang juga menjelaskan Khairul Anuar sudah memaklumkan kepadanya yang beliau tidak akan mencabar keputusan sampel A dan tidak mahu sampel B diuji. Sebagai rekod, Khairul Anuar adalah bekas atlet kebangsaan dan beliau digugurkan daripada skuad elit awal tahun ini kerana masalah disiplin. Pingat emas yang dimenangi atlet itu kini berpindah tangan kepada Arief Azwan Zulkefli dari Selangor, yang sebelum ini memenangi pingat perak dalam disiplin snatch serta clean and jerk. Pingat perak dan gangsa untuk disiplin snatch kini masing-masing menjadi milik Muhammad Naqqiudin Jaafar (Melaka) dan Christopher Merayang Johnnes (Sarawak) manakala bagi clean and jerk pula, pingat perak menjadi milik Muhammad Naqqiudin dan gangsa dimenangi Muhammad Syamil Iqmal Abu Bakar (Kedah). Sementara itu, kes terbaharu tersebut merupakan kes ketiga yang melibatkan atlet PABM tahun ini. Sebelum ini, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan digantung dua tahun selepas positif steroid ketika menjalani latihan di kem latihan pusat di China, April lepas. Mengulas mengenai isu Sazali Samad yang akan menfailkan rayuan kedua kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berikutan hukuman Constantine dan Nasir yang hanya digantung dua tahun walaupun atas kesalahan sama, Pang berkata ia merupakan kes dalaman. "Kes Nasir dan Constantine merupakan inisiatif persatuan sendiri yang melakukan ujian doping terhadap mereka dan ia sepatutnya dihantar ke Pulau Pinang untuk ujian makmal, namum disebabkan masalah teknikal ia dihantar ke New Delhi. "Makmal di New Delhi mendapat pengiktirafan dari WADA, tapi sebab ia kes dalaman, jadi mereka (WADA) membenarkan kita membuat keputusan sendiri," katanya.