SEPAKAN penalti Daniele De Rossi pada minit ke-82 membantu Itali mengikat Sepanyol 1-1 dan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2018. Itali gagal memecah kebuntuan pada babak pertama manakala pemain pertahanan Sepanyol, Gerard Pique melepaskan dua peluang keemasan di depan gawang yang dikawal ketat penjaga gol Gianluigi Buffon. Namun pasukan pelawat bangkit menjaringkan gol menerusi percubaan Vitolo pada minit ke-55. Pemain Sevilla itu nyaris menggandakan jaringan untuk Sepanyol tetapi rembatannya tersasar. Itali melakukan asakan ketika perlawanan berbaki 20 minit menerusi gandingan mantap Ciro Immobile dan Andrea Belotti yang diturunkan dari bangku simpanan. Pasukan tuan rumah akhirnya dihadiahkan sepakan penalti apabila Eder dijatuhkan Sergio Ramos di dalam kotak penalti. De Rossi menyempurnakan sepakan penalti yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Sepanyol, David De Gea.