SUZUKA: Selepas kejayaan di Litar F1 Sepang, Nico Rosberg terus memberi tekanan buat rakan sepasukan Lewis Hamilton apabila mendahului catatan masa di kedua-dua sesi latihan menjelang Grand Prix Jepun minggu ini. Rosberg untuk mencatat masa terpantas 1 minit 32.250s manakala Hamilton sekadar 1:32.322s. Pelumba Jerman itu yang memiliki kelebihan 23 mata berbanding Hamilton sambil berbaki lima perlumbaan musim ini, mengatasi juara dunia dua kali berkenaan pada sesi latihan pagi dan petang. Rosberg memberikan tekanan psikologi untuk mencabar gelaran F1 musim ini apabila memenangi empat daripada lima perlumbaan. “Semuanya kerana cara saya berlumba,” kata Rosberg. Hamilton yang ternyata masih tidak berpuas hati dengan insiden enjin jenteranya terbakar menyebabkan gagal menamatkan saingan di Litar Sepang minggu lalu. Selepas mendakwa insiden itu berunsur sabotaj dalaman, Hamilton, kali ini dia mendakwa enjin jenteranya kekurangan kuasa ketika mengharungi sesi latihan pagi. Bagaimanapun, apabila jenteranya dipulihkan pada sesi petang, tetapi Hamilton tetap gagal menyaingi Rosberg. “Secara keseluruhannya, saya tidak menghadapi masalah besar dan jentera saya juga dalam keadaan baik,” kata Hamilton. Pada sesi kedua, Kimi Raikkonen ketiga terpantas diikuti pelumba Red Bull Max Verstappen dan Sebastian Vettel. Pelumba Force India Sergio Perez di tangga keenam manakala Fernando Alonso di tangga kelapan.