suria

Wira, Wirawati Olimpik, Paralimpik Meriahkan Hari Sukan Negara 2016

PUTRAJAYA: Wira dan wirawati Olimpik dan Paralimpik negara memeriahkan sambutan perasmian Hari Sukan Negara 2016 di sini pada pagi Sabtu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga menyertai senamrobik dan kayuhan basikal bersama barisan kepimpinan negara dan lebih 37,000 peserta yang hadir pada majlis itu.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pasangan beregu campuran, Goh Liu Ying-Chan Peng Soon, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), atlet berbasikal Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, atlet terjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong antara ribuan peserta yang membanjiri Dataran Wawasan di sini sejak pukul 7 pagi Sabtu.

Turut kelihatan tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio,  Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi  (100m T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20 - masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly lompat jauh T20 lelaki - masalah pembelajaran) dan Siti Noor Radiah (lompat jauh wanita T20).

Mereka memulakan kayuhan basikal dari Dataran Wawasan di Presint 2 menuju ke Dataran Rakyat di Presint 4 kira-kira pukul 8 pagi.

Kesemua atlet ini akan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program pada kali ini.

Peserta yang hadir juga berpeluang bersaing dengan kesemua atlet ini. 

Terdahulu, Najib dalam ucapan perasmiannya menggesa rakyat Malaysia supaya menjadikan sukan satu budaya dalam mengamalkan gaya hidup sihat, wadah penyatuan bangsa dan meningkatkan semangat patriotisme.

"Definisi Hari Sukan Negara tidak terhad untuk bersukan pada hari ini sahaja tetapi perlu dilakukan setiap hari.

"Jika penyertaan kita hanya terhad pada hari ini, maka sukan sebagai satu wadah untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas tidak akan berjaya," katanya.

Beliau berkata sambutan HSN 2016 mendapatkan sambutan yang meluas apabila lebih tujuh juta peserta mengambil bahagian dalam lebih 20,000 aktiviti yang disediakan berbanding 5.1 juta pada tahun lalu.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan.



Artikel Sebelum

Artikel Lain