suria

Tiada Halangan Beraksi Di Sukan SEA - Pandelela

KUALA LUMPUR: Kejohanan terjun dunia tahun depan tidak menghalang ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur yang berlangsung bermula 19-31 Ogos 2017.

Pandelela berkata Kejohanan Dunia Budapest, Hungary akan bermula pada 14-30 Julai tahun depan sebelum bermulanya Sukan SEA dan kejohanan Siri Dunia Sirkit pertama pula bermula pada Mac di China.

"Kejohanan utama tahun depan tidak bertembung dengan Sukan SEA, empat Kejohanan Siri Dunia pula bermula pada Mac sehingga April sahaja. Jadi tidak ada masalah untuk saya beraksi di Sukan SEA," kata Pandelela kepada pemberita.

Pandelela berkata sekarang, beliau mahu menumpukan perhatian kepada pelajarannya yang sebelum ini tertangguh bagi memberi tumpuan kepada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Pandelela yang berganding dengan Cheong Jun Hoong untuk memenangi pingat perak acara 10m platform seirama di Rio, mengambil jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya dan berazam menamatkan pengajiannya pada 2018.

"Selepas habis Sukan Olimpik, sasaran saya adalah mahu menamatkan pelajaran secepat mungkin, sepatutnya saya sudah semester empat tetapi sebab tertangguh, saya masih di semester dua," kata Pandelela.

Atlet berusia 23 tahun itu bagaimanapun tetap menjalani latihan seperti biasa di Pusat Akuatik Cheras, Kuala Lumpur dan latihan fizikal kendalian Institut Sukan Negara.

Beliau juga tidak dapat bersama-sama atlet terjun yang lain yang kini sedang berlatih di China.

"Awal tahun depan saya akan kembali fokus menjalani latihan bagi persiapan kejohanan utama serta Sukan SEA," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PABM Sasar Tiga Emas

Artikel Lain