suria

PABM Sasar Tiga Emas

Setiausaha Agung Persatuan Angkat Berat Malaysia, Pang Siew Huat (kiri) selepas sidang media mengenai pengumuman atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor yang akan mewakili negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada 14 Mei lalu. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Angkat Berat Senior, Belia dan Remaja Komanwel 2016 serta Kejohanan Angkat berat Belia Dunia IWF 2016 bertempat di SPICE Arena, Pulau Pinang pada 18 hingga 29 Oktober ini.

Kejohanan berkenaan melibatkan penyertaan seramai 300 atlet dari 82 buah negara, antaranya Iran, Bulgaria dan Perancis.

Selaku tuan rumah, Malaysia akan menampilkan seramai 55 atlet elit yang bernaung di bawah PABM.

Setiausaha Kehormat PABM Pang Siew Huat berkata Malaysia berpeluang untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

"Kalau tengok daripada 'startlist' yang saya terima, Malaysia berpeluang mendapat tiga emas menerusi Mohd Hafifi Mansor, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan Hazal Wafi Izhar.

"Bagi atlet negara yang lain, saya kira persaingan untuk tempat kedua dan ketiga akan menjadi sengit," katanya kepada pemberita.

Pang turut menegaskan bahawa World Anti-Doping Agency (WADA) juga akan melakukan ujian doping pada kejohanan berkenaan.

"Berkemungkinan lebih ramai lagi atlet yang akan terlibat dengan ujian yang bakal dilakukan secara rawak itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain