SINGAPURA: Perlawanan persahabatan Causeway Challenge antara Malaysia dan Singapura berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Nasional Singapura, di sini Jumaat malam. Bagaimanapun, Ketua Jurulatih pasukan Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata kesemua 17 pemain yang beraksi pada malam ini adalah yang terbaik pernah dikendalikannya. "Kami bermain dengan baik pada babak kedua," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini. Apabila ditanya sama ada pasukan ini akan dikekalkan bagi menghadapi Piala Suzuki, Ong tidak dapat memberi kepastian kerana ada pemain yang mengalami kecederaan. "Kita lihat apa yang berlaku nanti," katanya. Malaysia melakukan enam pertukaran pemain sepanjang perlawanan malam ini termasuk Ketua Pasukan Amri Yahyah selepas menerima dua kad kuning manakala Singapura hanya melakukan tiga pertukaran pemain sahaja. Pada babak pertama perlawanan, Amri melakukan dua percubaan di luar kotak penalti tetapi gagal membolosi gawang lawan dan sepanjang perlawanan Singapura lebih banyak menyerang dan menguasai permainan tetapi cubaan mereka mendapatkan gol dihampakan pertahanan Harimau Malaysia. Sementara itu pengendali Singapura, V.Sundram Moorthy melihat permainan anak buahnya pada malam ini sebagai positif walaupun mereka dinafikan satu tendangan penalti. Perlawanan Causeway Challenge diadakan enam minggu sebelum Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asian bermula pada 19 November depan. -- Bernama