KUALA LUMPUR: Pengerusi Bukan Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang baharu dilantik, Tan Sri Azman Yahya menzahirkan keazaman meneruskan kesinambungan pembangunan dan perkembangan sukan permotoran di Malaysia. Azman, yang akan memegang jawatan itu selama tiga tahun, berkata beliau gembira dapat meneruskan usaha yang dilakukan bekas pengerusi, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Allahyarham Tan Sri Bashir Ismail. "Saya harap dapat terus menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan sukan permotoran di Malaysia, satu bidang yang cukup dekat di hati saya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam. Azman, yang juga anggota Lembaga Pengarah SIC sejak 2010, dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yangmewakili kakitangan SIC, mengalu-alukan pelantikan Azman sebagai pengerusi baharu. "Saya anggap Tan Sri Azman sebagai mentor saya di SIC dan juga dunia permotoran. "Minatnya dalam permotoran dan pengetahuan luas dalam bidang ini menjadi satu inspirasi dan kami amat berbesar hati kerana dapat memanfaatkan kebijaksanaannya untuk mengembangkan SIC dan membangunkan sukan permotoran Malaysia bagi tahun-tahun akan datang," kata Razlan. Azman dikenali dengan minatnya dalam perlumbaan dan pernah dinamakan sebagai 'Pemandu Tahunan' oleh Persatuan Automobil Malaysia pada 2004 selepas memenangi Kelas Terbuka Siri Super Malaysia pada Perlumbaan Merdeka Millennium Endurance. Seorang akauntan bertauliah, Azman adalah Ahli Lembaga Khazanah Nasional Berhad dan juga anggota dan penasihat beberapa agensi negara. Mokhzani meletak jawatan sebagai pengerusi SIC pada Khamis setelah berkhidmat selama 13 tahun.