suria

McMahon Sedia Hulur Kepakaran Di Malaysia

Mcmahon sedia hulur kepakaran untuk tingkatan mutu bola sepak negara. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas legenda Liverpool dan England, Steve McMahon membayangkan beliau sedia menghulurkan kepakarannya bagi membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.

McMahon atau nama sebenarnya, Stephen Joseph McMahon adalah bekas pemain, jurulatih dan penganalisis bola sepak di televisyen, sanggup memikul tugas itu di Malaysia, seandainya diberi pilihan.

"Ya, saya mahu...dengan pengalaman yang ada, sudah tentu saya boleh membantu. 

"Namun, mereka sudah mempunyai jurulatih kebangsaan (Datuk Ong Kim Swee), kita perlu hormati jurulatih kebangsaan," katanya kepada Bernama apabila ditanya sama ada berminat untuk mengendalikan skuad negara.

Bekas pemain tengah era 1980-an yang berusia 55 tahun itu, menjelaskan walaupun negara ini mempunyai beberapa jurulatih yang baik, namun pengetahuan mereka dalam bidang kejurulatihan perlu ditingkatkan lagi.

"Apabila jurulatih itu bertahap sederhana, mereka tidak mampu menyediakan kaedah latihan terbaik kepada pemain muda. Jadi, anda perlukan rancangan untuk membimbing dan mendidik jurulatih, sesuatu yang tiada di Malaysia. 

"Ini bukan bererti mereka tidak baik...mereka perlukan didikan dan bantuan untuk meningkatkan mutu bola sepak," katanya selepas menjadi tetamu rancangan Bernama Today selama sejam terbitan Bernama News Channel di sini pada Jumaat.

Bekas pemain Everton, Aston Villa dan Manchester City itu turut berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai pembangunan bola sepak negara, selain kempen baharunya, Million Dollar Feet, iaitu pencarian dua pemain berumur antara 11 dan 14 tahun di seluruh negara, untuk didedahkan dengan latihan di United Kingdom. 

McMahon juga berkata budaya juga menjadi antara masalah kepada pembangunan bola sepak di negara ini, yang menyaksikan ranking skuad kebangsaan merudum sehingga ke posisi terburuk iaitu 174 pada awal tahun ini.

"Perkara asas yang perlu ditekankan adalah seperti ketika membina rumah, anda tidak meletakkan bumbungnya dulu tetapi menyediakan asas yang mampu menyokongnya.

"Ia memerlukan infrastruktur di seluruh negara dan kanak-kanak perlu bermula pada usia muda iaitu pada umur lapan tahun tapi di sini, ia hanya bermula pada usia 14 dan 15 tahun. Jadi mereka tidak akan mendapat faedah penuh daripada program pembangunan," katanya.

Selain itu, McMahon berkata tabiat makan di mana pemain tidak mengambil jumlah pemakanan yang betul terutama pengambilan protein dan karbohidrat harian, serta kekurangan dorongan dan kesedaran ibu bapa, turut menjejaskan pembangunan bola sepak di Malaysia.

Sebagai rekod, Malaysia yang kini menduduki ranking ke-158 dunia, hanya menang tiga daripada 11 perlawanan mereka tahun ini termasuk kemenangan 3-0 sebanyak dua kali ke atas pasukan kerdil, Timor Leste di perlawanan play-off kelayakan Piala Asia 2019.

Selain itu, Malaysia menang 2-1 ke atas New Caledonia dalam perlawanan persahabatan di tempat lawan yang akhirnya tidak diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa kerana kesilapan teknikal yang dilakukan tuan rumah. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain