PEP Guardiola mengumumkan Manchester City sedia menerima bintang Argentina, Lionel Messi jika pemain itu ingin meninggalkan Barcelona. Malah, kelab itu juga akan berada di barisan paling depan untuk bersaing mendapatkan pemain sensasi tersebut walaupun mungkin sukar untuk Messi meninggalkan Nou Camp. Bekas pengendali Barcelona itu memberikan tawaran tersebut dalam sidang media pra perlawanan menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu. "Mengenai Messi, saya sangat berharap dia akan terus bermain di sini (Barcelona) dan menamatkan kariernya di sini. "Tapi mungkin dia akan berfikir "ok saya akan bermain untuk kelab lain" untuk memberi peluang anaknya belajar bercakap English atau mencari kelainan seperti yang berlaku kepada banyak pemain. "Jika itu berlaku, sudah pasti terdapat tujuh atau lapan kelab akan beratur untuk mendapatkannya. Ketika itu kami juga akan bersaing untuk membawanya ke Manchester City," katanya. Guardiola berkata demikian selepas dikaitkan dengan khabar angin bahawa telah menghubungi Messi pada awal musim lalu untuk mempengaruhi pemain berkenaan meninggalkan Barcelona. - Mirror