suria

Piala FAM: MISC- MIFA Menang 1-0 Ke Atas PKNP FC

KUALA LUMPUR: Pasukan MISC-MIFA beroleh kelebihan awal dalam misi menjulang Piala FAM sulungnya, apabila menang 1-0 ke atas PKNP FC pada aksi final pertama, malam Khamis.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, jaringan pemain simpanan, G. Thipen Raj pada minit ke-89 menerusi sepakan penalti memberi kelebihan untuk skuad kendalian Jacob Joseph sebelum aksi timbal balik minggu hadapan.

Terdahulu, pengadil perlawanan Mohd Ezanee Mohd Sane menghadiahkan penalti kepada tuan rumah apabila Thipen Raj dikasari pemain pertahanan PKNP FC, Muhammad Mazni Khairul Hasnah.

Thipen Raj menyudahkan sepakan penalti dengan kemas menerusi tendangan ke sudut kiri gawang yang tidak dapat dihalang penjaga gol, Hairol Fazreen Abu Hassan, walaupun melompat ke arah yang betul.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mendapat peluang membuka jaringan pada minit ke-79, namun tandukan Muhammad Shahrel Fikri Fauzi sedikit tersasar ke kiri gawang gol.

Perlawanan timbal balik akan diadakan pada 27 Oktober ini di Stadium Perak, Ipoh. - BERNAMA 



MISC-MIFA, Piala FAM

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain