suria

PBNST Bantah Keputusan FAM Beri 3 Mata Kepada Pahang

Rozi Mamat.

KUALA NERUS: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menghantar bantahan berhubung keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kemenangan kepada Pahang bagi aksi Liga Super, Ogos lalu.

Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat kecewa dengan keputusan memberi tiga mata kepada skuad Tok Gajah selepas Kedah didapati bersalah menurunkan pemain yang digantung.

"Esok (Jumaat) kita akan hantar surat bantahan. Persoalannya mengapa FAM mengambil masa panjang iaitu melebihi tiga bulan untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak litar lumba motosikal, di sini, Khamis.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mengadakan mesyuarat semalam memutuskan Kedah bersalah kerana menurunkan pemain yang digantung ketika bertemu Pahang pada perlawanan Liga Super, 3 Ogos lalu.

Keputusan itu membolehkan Pahang terus beraksi dalam Liga Super musim depan apabila secara automatik melonjak ke posisi kelapan selepas mengumpulkan 23 mata.

Rozi berkata pihaknya tidak mempertikaikan keputusan tiga mata automatik diberikan kepada Pahang, sebaliknya tindakan pada saat akhir itu sedikit sebanyak melemahkan semangat pemain untuk meneruskan aksi terakhir Sabtu ini.

Katanya peluang Terengganu untuk kekal di Liga Super masih terbuka jika mampu memberikan persembahan dan aksi yang konsisten dalam perlawanan terakhir mereka.

"Saya harap pemain yang akan diturunkan untuk perlawanan terakhir itu nanti, tidak terpengaruh dengan keputusan drastik FAM, sebaliknya meneruskan perjuangan mencipta kemenangan dengan jumlah jaringan yang banyak," katanya. - BERNAMA

PBNST, Terengganu, Liga Super, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Juara Gigit Jari

Artikel Lain