PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan mendapat reaksi positif di kalangan atlet. Atlet menembak negara, Jonathan Wong Guanjie berkata, suntikan dana yang lebih besar tahun depan membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memajukan sukan di negara ini. "Ia satu petanda baik kepada sektor sukan di Malaysia. Ia juga amat bagus ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan'. "Dengan peruntukan itu, sebagai atlet sudah tentunya gembira dan jadi lebih bersemangat untuk melakar lebih banyak kejayaan untuk negara," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Pada masa sama beliau turut berharap agar peruntukan itu diagihkan secara adil antara persatuan dan jabatan sukan di setiap negeri agar semua pihak mendapat manfaatnya. "Dana itu perlu diuruskan dengan baik supaya ia dapat digunakan untuk membangunkan industri sukan kita. "Jika gagal diagihkan secara adil, ia bukan sahaja mengundang pembaziran besar malah menjejaskan kepercayaan rakyat Malaysia," katanya. Sementara itu, atlet lontar peluru yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhamad Ziyad Zolkefli berterima kasih kepada kerajaan kerana meletakkan atlet paralimpik sama taraf dengan atlet normal. "Syukur sangat kerana kami juga tidak dilupakan. Kami akan cuba melakar lebih banyak kemenangan pada masa akan datang. "Peruntukan besar itu menunjukkan kerajaan juga menaruh harapan tinggi kepada atlet seperti kami untuk terus mengharumkan nama negara," katanya. Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan. Peruntukan itu termasuk RM450 juta yang dikhususkan bagi penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan, sebagai tuan rumah. Selain itu, sebanyak RM70 juta turut diperuntuk bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke pertandingan antarabangsa. Najib turut mengumumkan RM54 juta bagi Program Pembangunan Ahli Sukan termasuk Program Penyediaan Atlet dan Program Penyediaan Atlet Paralimpik.