KUANTAN: Abdul Khan muncul wira apabila membantu Pakistan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Korea Selatan pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Kuantan di sini, Jumaat. Juara bertahan itu, bagaimanapun dilihat seakan hilang punca dengan penguasaan pada separuh masa pertama lebih memihak kepada Korea Selatan, yang mengatur serangan bertali arus untuk menembusi benteng pertahanan lawan. Namun, serangan demi serangan dilancarkan barisan pemain kendalian Song Seung Tae itu gagal membuahkan hasil terutama menerusi lima pukulan sudut penalti berbanding hanya satu diperoleh Pakistan dalam aksi 30 minit pertama. Sebaik perlawanan disambung, skuad bimbingan Junaid Khawaja Muhammad itu mula memperkemaskan permainan dengan memberi tekanan kepada Korea Selatan menerusi beberapa percubaan berbahaya di hadapan pintu gol lawan. Usaha mereka akhirnya berhasil apabila Abdul Khan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-60 untuk memastikan Pakistan meraih tiga mata berharga. - BERNAMA