PETALING JAYA: Kem latihan fasa akhir skuad Harimau Malaysia yang bermula Selasa ini bakal menyaksikan kehadiran penyerang berpengalaman bagi memantapkan barisan jentera serangan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang Piala AFF Suzuki November ini. Menurut Kim Swee, tidak ada perubahan daripada senarai pemain sebelum ini kecuali satu penambahan seorang pemain iaitu Mohd Safee Sali untuk perkuatkan barisan serangan. "Hanya penambahan seorang pemain di mana dia (Safee) disenaraikan untuk memperkuatkan barisan serangan kita terutama pengalaman dan reputasi dimilikinya, bukan saja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain-pemain muda lain seperti Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan. "Biarpun kita tahu Safee jarang beraksi bersama kelabnya (JDT), tapi kita mempunyai tempoh dua minggu latihan pusat di mana jadual latihan yang padat ini sudah tentu memberi ruang untuk saya memperbaiki segala kelemahan yang ada bukan saja pada Safee tetapi pemain-pemain lain. "Saya memilih untuk mengekalkan pemain lain yang sedia ada dalam senarai 30 pemain sebelum ini kerana tiada masa lagi untuk saya mengenalpasti pemain-pemain lain. Ini adalah senarai terakhir sebelum tiga pemain akan digugurkan sebelum kita ke Yangon," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Menurut Kim Swee, pasukannya bakal berlepas ke ke Yangon, Myanmar lebih awal iaitu pada 16 November kerana mahu mendapatkan rentak latihan di sana. "Daripada apa yang kita nilaikan dan banyak aspek yang saya lihat, senarai 26 pemain ini adalah yang terbaik di mana lima pemain yang telah digugurkan itu berada dalam senarai bersedia jika terdapat pemain yang cedera. "Memang sukar untuk saya membuat pemilihan bagi senarai 26 pemain ini tetapi saya terpaksa melakukannya untuk mendapatkan yang terbaik di posisi-posisi tertentu. "Latihan akan diadakan seperti biasa bermula 25 Oktober ini dan banyak yang saya boleh lakukan bersama 18 pemain yang melapor diri awal ini berbanding tempoh hari apabila saya hanya ada sepuluh pemain yang melapor diri awal," jelasnya. Dalam pada itu, skuad Harimau Malaysia juga bakal menjalani latihan kem bina semangat di Port Dickson selama tiga hari bermula 2 November ini. "Kem bina semangat ini cukup penting di mana ia akan dapat membentuk semangat berpasukan tinggi di kalangan pemain. Tiada satu pun latihan di padang sepanjang tiga hari berkenaan dan latihan akan disambung semula pada 5 November. "Bagi saya, satu perlawanan persahabatan mencukupi memandangkan tempoh masa yang terhad ini. Saya ingin menumpukan kepada sesi latihan dan satu perlawanan ini penting untuk saya membentuk corak permainan sebelum kita memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016.," tambahnya. Selain itu, lima pemain yang telah digugurkan untuk kem latihan pusat terakhir ini terdiri daripada dua pemain PDRM, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid serta Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT). Manakala senarai 23 pemain terakhir dipilih Kim Swee akan diumumkan sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada 16 November ini. Malaysia diundi berada dalam Kumpulan B bersama pasukan juara pusingan kelayakan pada 20 November, Vietnam pada 23 November dan tuan rumah, Myanmar pada 26 November dengan kesemua aksi berlangsung di Stadium Thuwunna YTC.